With Managing Director of FCC ;
Cik Ili Zawani Dato' Ismail at Holiday Villa, Subang Jaya, Selangor on May 3, 2012.
Me (left) |
CERIA...sebagai peneraju utama, setiap produk dicuba terlebih dulu bagi memastikan keberkesanannya.
HANYA dengan padanan kaftan merah dan tudung kelabu, gaya penampilannya cukup menyerlah. Solekan menambahkan lagi kejelitaan Pengarah Eksekutif Naturalife Solution Sdn Bhd, Ili Zawani Ismail sehinggakan sesiapa juga pasti terpesona pada aura gadis manis ini.
Ketika ditemui di pejabatnya di Subang Jaya, Selangor, jujur penulis mengakui gadis kelahiran Kuala Lumpur ini bukan saja bijak bergaya, malah mempunyai karisma dan semangat yang luar biasa.
Dia matang sebelum usia walaupun baru mencecah usia 25 tahun Julai lalu. Setiap lontaran kata-kata disusun teratur dan penuh sopan. Setiap perkataan yang terbit daripada bibirnya disulami kata-kata semangat serta penuh rasa rendah diri.
“Sejak kecil saya dikelilingi mereka yang lebih berusia. Ibu sering membawa saya menemui rakan perniagaannya. Begitu juga di rumah apabila saudara-mara menjadikan saya sebagai tempat rujukan. Sebab itu pemikiran saya menjadi lebih matang daripada usia,” katanya.
“Sejak kecil saya dikelilingi mereka yang lebih berusia. Ibu sering membawa saya menemui rakan perniagaannya. Begitu juga di rumah apabila saudara-mara menjadikan saya sebagai tempat rujukan. Sebab itu pemikiran saya menjadi lebih matang daripada usia,” katanya.
Memulakan perniagaan ketika usia mencecah 22 tahun iaitu selepas tamat pengajian di Kolej Sunway dalam jurusan perakaunan, Ili Zawani yang mesra disapa Wani mengakui dia berasa bertuah kerana percaturan hidupnya bermula di landasan yang betul, sedangkan pada usia begini ramai kawan-kawannya masih tercari-cari arah dan tujuan hidup.
“Saya akui tidak ramai bernasib baik seperti saya mampu membuka perniagaan pada usia muda. Mulanya saya merancang ingin bekerja dengan orang luar kerana lebih mudah, tidak perlu bersusah payah memikirkan hal syarikat. Tetapi apabila ayah meminta supaya saya menjalankan perniagaan sendiri, saya terus menerima dengan hati terbuka. Peluang yang ada, mengapa mesti ditolak kerana inilah masa saya membantu keluarga,” katanya penuh yakin.
Memandangkan semua wanita gemar pada kecantikan, justeru Wani mencari produk untuk keperluan kaum hawa terutama golongan pertengahan. Kajian demi kajian dijalankan bagi mencari produk berkualiti dan mampu digunakan semua wanita.
“Memikirkan terlalu banyak produk buatan Eropah, Amerika Syarikat mahupun Asia seperti Jepun dan Korea yang mahal serta mewah, saya inginkan kelainan supaya produk saya mampu dimiliki semua wanita.
“Dalam pencarian akhirnya saya bertemu dengan Farmasi Colour Cosmetics (FCC), jenama alat solek yang diimport dari Istanbul, Turki. Pada awalnya syarikat itu hanya mengeluarkan produk minyak wangi E Coudray dari Perancis dan turut memasarkan beberapa produk herba tempatan. Namun, selepas melihat hasilnya pada kulit kakak dan ibu, saya terus bersetuju,” katanya.
Selepas mendapat persetujuan serta meneliti hasil kajian, Wani ke Turki untuk melihat proses penyediaan dan bagaimana produk ini dipasarkan.
“Saya bertambah yakin apabila FCC menggunakan seratus peratus bahan halal serta tidak menggunakan gelatin haiwan, alkohol dan tidak diuji pada haiwan manakala semua pekerjanya adalah orang Islam,” katanya.
Selepas tujuh tahun menjalankan kajian, akhirnya pada 2009, FCC berada di pusat beli-belah Parkson, Jusco serta 17 rakan niaga di seluruh Malaysia dengan lebih 400 produk dikeluarkan.
Menurut Wani, FCC sangat istimewa kerana mempunyai pelbagai rangkaian warna sesuai untuk kulit wanita Asia.
Dengan label Mewarnai Hidup Anda, kehadiran warna segar ini tentunya memberi lebih pilihan pada wanita dan pada masa sama, memenuhi keinginan mereka untuk kekal cantik sepanjang masa. Daripada maklum balas pelanggan, mereka mengatakan produk kosmetik FCC wangi dan selesa apabila digunakan ketika cuaca panas.
Lebih penting, semua produk termasuk rangkaian bedak asas, bedak debu, bedak padat, gincu, pembayang mata, pemerah pipi dan maskara sesuai untuk semua jenis kulit sama ada cerah, gelap dan sawo matang.
“Pelbagai maklum balas positif daripada pelanggan memberi keyakinan dan semangat kepada saya untuk terus bertahan dan memastikan FCC menjadi pilihan utama wanita. Apatah lagi harganya sangat berpatutan iaitu antara RM9.90 sehingga RM69.90,” katanya.
Sebagai pengusaha sudah pasti apa saja perniagaan ada cabarannya. Selain memastikan produk keluarannya dikenali ramai, lambakan alat solek di pasaran adalah persaingan biasa yang harus dihadapi. Namun, dia turut mengakui ada kala hatinya gundah memikirkan cabaran dalaman terutama daripada segi perhubungan dengan pekerja.
“Saya dikelilingi kakitangan yang lebih berumur, tentunya saya memerlukan cara terbaik untuk mendekati mereka. Alhamdulillah saya dapat menanganinya berkat pengalaman ketika bergaul dengan mereka yang lebih berusia. Pada saya umur bukan menjadi masalah, apa yang penting belajar untuk menghormati orang lain dan orang akan menghormati kita,” nyatanya.
Anak kedua daripada tiga beradik ini juga mengakui bekerja dengan keluarga bukanlah satu kelebihan, tetapi cabaran bagi memastikan apa juga tanggungjawab dapat ditunaikan sebaik mungkin. Banyak perkara perlu dikorbankan terutama masa dan tenaga bagi memastikan semua berjalan lancar.
“Sebagai peneraju utama, jatuh bangun syarikat adalah di atas tangan saya. Oleh itu saya perlu memastikan semuanya dalam keadaan baik, lancar dan selesa,” katanya yang menjadikan ayahnya, Ismail Kamin sebagai idola.
Walaupun kurang rapat dengan ayah, tetapi ayah menaruh harapan dan kepercayaan kepadanya untuk menerajui syarikat. Kematangan, wawasan dan cara bekerja ayah menjadi idola Wani untuknya melangkah ke hadapan.
Selain menjaga bahagian kosmetik, Wani juga diberi kepercayaan sebagai Pengarah Kewangan Automotif serta mengendalikan medan selera di Shah Alam. Dia juga adalah Bendahari Kehormat Peniagawati Malaysia dan menjadi ahli jawatan kuasa tertinggi paling muda selama tiga tahun berturut-turut.
“Bergaul dengan usahawan wanita berjaya menyebabkan saya berazam untuk berjaya dalam tempoh yang singkat iaitu lima tahun. Walaupun bukan mudah, saya yakin usaha disertai dengan tawakal pasti akan menemui kejayaan,” katanya yang mengakui penyertaan dalam persatuan ini sangat membantu membentuk diri menjadi lebih positif.
Dalam kesibukan mengendalikan perniagaan, Wani mengakui jiwa mudanya masih terserlah. Bagi mengisi kekosongan itu dia banyak meluangkan masa bersama keluarga dan mengajak rakan datang ke rumah.
“Saya bersyukur kerana ibu bapa sangat memahami. Mereka juga menjaga pergaulan dan batas agama supaya kami tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya. Jika tidak kerana bebelan serta larangan ibu bapa sudah pasti saya tidak menjadi seperti sekarang. Saya juga dikelilingi rakan yang sangat mementingkan keluarga. Jadi pertemuan kami lebih banyak diadakan di rumah,” katanya.
Mengimbas kembali ketika zaman remaja, Wani mengakui dia jarang membantah atau memberontak setiap kata-kata ayahnya. Ini kerana sedar pada akhirnya dia juga akan mendapat manfaatnya. Buktinya seperti mana yang berlaku pada masa sekarang.
“Saya percaya apa juga perkara yang dilakukan harus mendapat keredaan ibu bapa. Saya sedar dalam mengejar kekayaan dan kejayaan, ilmu akhirat harus diseimbangkan jika tidak hidup tidak akan bermakna. Inilah yang saya belajar supaya sentiasa menghargai apa saja nilai positif dalam hidup serta melakukan yang terbaik bukan saja untuk diri tetapi keluarga dan masyarakat.
“Jika ada yang berkata saya beruntung kerana dilahirkan dalam sebuah keluarga mewah, tidak perlu bersusah payah, tetapi sebenarnya itu tanggapan silap. Saya dan keluarga ketika kecil juga pernah melalui zaman susah.
“Hidup di dalam rumah kedai dengan hanya menaiki motosikal, tetapi saya mempunyai seorang ayah yang kuat semangat serta ibu yang menjadi pendorong utama. Mereka berazam untuk mengubah nasib keluarga dan sekarang apa yang diperoleh adalah hasil usaha serta penat lelah mereka selama ini. Jika saya yang dulu pernah susah boleh melakukan mengapa anda tidak,” katanya.
Wani menasihati remaja hari ini supaya berfikir di luar kotak pemikiran. Jangan hanya menjadi remaja biasa yang sentiasa berpuas hati dengan apa yang ada.
Jika dilahirkan dalam keluarga susah, adakah anda juga mahu menjadi susah seperti itu? Jika kita yang tidak cuba mengubahnya siapa lagi?
“Adakala saya kecewa dengan segelintir remaja Melayu yang mengambil mudah sesuatu perkara. Mereka tidak pernah berfikir mengenai masa depan dan apa yang dilakukan sekarang akan memberi kesan 10 tahun akan datang. Belajar daripada kesilapan dan kegagalan kerana daripada situ kita tahu kelemahan diri sendiri,” katanya yang sangat mengagumi ketokohan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed yang sentiasa berfikir ke hadapan dalam membuat perancangan.
Di akhir bicara, Wani mempunyai impian sendiri iaitu ingin mengembangkan industri fesyen serta ingin berkongsi pengalaman dengan remaja bagaimana mahu menjadi usahawan berjaya pada usia muda.
No comments:
Post a Comment